Friday, July 22, 2016

Cara Penentuan Waktu Solat Di Negara-Negara Latitud Tinggi

Penentuan Waktu Solat Di Negara-Negara Latitud Tinggi. Negara-negara latitud tinggi ditafsirkan negara-negara yang terletak melebihi latitud 66° Utara dan Selatan. Negara-negara tersebut akan mengalami perubahan siang dan malam yang terlalu singkat atau tidak akan berubah langsung.  Manakala di negara-negara yang latitudnya melebihi 45° Utara seperti  Sweden, Norway, Kanada dan Russia, perubahan siang dan malamnya berlaku secara jelas, tetapi perbezaan jangkamasa siang dan malamnya begitu ketara. 
waktu Solat Malaysia
waktu Solat Malaysia

RESOLUSI PENENTUAN WAKTU SOLAT 

Terdapat tiga resolusi mengenai penentuan waktu solat di negara-negara berlatitud tinggi.
  • Menurut Hamidullah dalam bukunya Introduction To Islam, negara-negara di latitud melebihi 45° Utara dan Selatan disifatkan sebagai zon tak normal. Oleh itu, untuk penentuan waktu solat dan imsak,  negara-negara berkenaan boleh menggunakan waktu-waktu yang ditentukan di kedudukan latitud 45° sahaja, tetapi menggunakan longitud tempatan. Contoh:Bandar Oslo di Norway yang terletak di latitud 59.5° Utara dan longitud 10.45° Timur.Waktu solat dan imsak yang boleh digunakan ialah waktu yang diberikan pada kedudukan latitud 45° Utara dan longitud 10.45° Timur.
  • Keputusan Majlis Syariah Islam, Rabitah al-Alami al-Islami (1982). Majlis ini membahagikan kawasan-kawasan tinggi kepada tiga kawasan iaitu:
    a.Kawasan berhampiran kutub di mana waktu siang ataupun malam berpanjangan selama 24 jam.Waktu solat dan  imsak di kawasan-kawasan ini sepatutnya dihisab berdasarkan kawasan terdekat yang siang dan malamnya dapat dibezakan dalam masa 24 jam.
    b.Kawasan-kawasan di mana masa senja bercantum dengan fajar. Keadaan ini akan menimbulkan masalah mengenai penentuan waktu Isyak, Imsak dan Subuh.  Oleh itu waktu-waktu tersebut boleh ditentukan mengikut waktu terakhir musim sebelumnya dalam keadaan  mega merah dan fajar sadiq dapat dibezakan dengan jelas.
    c.Kawasan-kawasan di mana waktu siang dan malam terlalu panjang.Kawasan-kawasan yang dimaksudkan umpamanya tempoh siang 21 jam atau malam 23 jam atau sebaliknya, waktu solat perlulah dilakukan mengikut waktunya.  Begitu juga semasa bulan Ramadan,  makan dan minum hanya boleh dibuat pada waktu malam. Jika seorang itu tidak dapat berpuasa kerana waktu siang yang panjang dan dengan ikhlas beliau yakin puasa yang terlalu panjang akan membawa kemudharatan kepada dirinya atau selepas dinasihati oleh seorang doktor yang jujur, maka mereka boleh berbuka.  Walau bagaimanapun wajiblah mereka mengqadakkan puasa yang tertinggal itu.
  • Keputusan Seminar Islam di Islamic Cultural Centre, London (Mei 1984). Secara umum seminar tersebut telah mencapai suatu keputusan yang seragam dan memuaskan. Setelah mengkaji semua teks syariah yang telah dikemukakan oleh para ulama, secara rasional memperkenalkan prinsip saintifik termasuk ilmu falak tanpa mengetepikan ciri-ciri Syariah Islam yang menekankan soal perpaduan dan keselesaan untuk beribadat .
Seminar tersebut telah merumuskan beberapa perkara:
  • Pada hari yang jelas perbezaan waktu siang dan malam, pembahagian waktu solat adalah mengikut ketetapan syarak.         
  • Ketika mega merah (شفق الاحمر   ) dan fajar sadiq sukar dibezakan, waktu solat Subuh dan Isyak boleh ditentukan berdasarkan tempoh terbenam matahari dan Isyak di latitud 48° Utara atau 48° Selatan di mana tanda-tanda perubahan langit dapat dibezakan. Kadar perbezaan tersebut boleh digunakan untuk penentuan waktu solat di  kawasan-kawasan yang lebih Utara atau Selatan.
  • Para Ulama berpendapat, bagi mereka yang kesulitan untuk menunggu waktu Isyak yang sebenar disebabkan terlalu lewat, diharuskan melaksanakan jamak taqdim bagi solat Maghrib dan Isyak.
  • Tempoh siang dan malam yang panjang berkait rapat juga dengan pelaksanaan puasa Ramadhan. Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan atas nasihat pakar perubatan yang amanah dan yakin bahawa berpuasa panjang boleh memudharatkan kesihatan, mereka dibolehkan berbuka puasa tetapi perlulah mengqada’kan puasa tersebut pada bulan-bulan lain.
Sumber
          
Load disqus comments

0 comments